Sunday, November 29, 2009

PENGENALAN/KATA-KATA ALUAN


BISMILAHHIRRAHMANIRRAHIM...dan Salam Sejahtera.....Terlebih dahulu saya ingin panjatkan doa dan kesyukuran kerana akhirnya telah berjaya menghasilkan satu blog yang telah lama saya ingin hasilkannya. Tujuan saya menghasilkan blog ini adalah kerana ingin mengalakkan para anak-anak muda khasnya anak-anak muda Kampung Kelulut agar mengetahui sedikit sebanyak tentang perihal tempat kelahiran, tanah tumpah darah serta tempat tinggal keturunan kita ini. Saya percaya ramai daripada generasi sekarang tidak mengetahui banyak perkara terutamanya tentang sejarah kampung ini. Atas dari kesedaran itulah saya telah menghasilkan blog ini agar anak-anak Kelulut di serata dunia dapat mengenali atau mengikuti perkembangan kampung mereka. Kelahiran blog ini bukanlah atas desakan atau suruhan daripada mana-mana pihak. Ia adalah dari inisiatif saya sendiri yang tidak mahu sejarah kampung ini terkubur begitu sahaja. Sumber-sumber maklumat yang diperolehi adalah hasil dari kajian saya sendiri iaitu melalui catitan terdahulu, cerita lisan yang boleh dipercayai dan dari pemerhatian saya sendiri dari kecil hinggalah ke saat ini. Dan tidak lupa juga kepada generasi-generasi lama yang telah pergi, bersama-samalah kita menghadiahkan Doa buat mereka kerana tanpa mereka tiadalah kita. Juga buat generasi-generasi lama yang masih hidup, hargailah mereka kerana mereka ini seumpama khazanah yang tidak ternilai harganya. Mereka penuh dengan pengalaman hidup. Cerita mereka juga amat berguna untuk dijadikan pengetahuan dan iktibar.....dan akhir sekali, saya ingin memohon keampunan dan kemaafan jikalau blog ini tidak seperti yang diharapkan. Lagipun susunan ayat-ayatnya tidaklah terlalu formal. Ini adalah untuk memudahkan generasi-generasi muda memahaminya kerana ayat-ayat @ perkataan itu telah biasa digunakan sehari-hari. Maklumlah, saya ini hanyalah seorang petani yang cetek ilmunya. Jika anda ada maklumat baru atau cerita yang menarik tentang kampung ini, silalah menyumbang tulisan anda di dalam blog ini dengan menghantar email kepada saya. Sekian....


DAMAINYA KAMPUNG KU TERCINTA
KELULUT INDAH PERMAI
POHON MENGHIJAU, NYIUR MELAMBAI
HATIKU SENANG DAN DAMAI

MASYARAKAT RAJIN BERUSAHA
BERSATU BERGANDING TENAGA
BERKEJASAMA MENCAPAI CITA
KELULUT DESA WAWASAN

SYUKURKU KEPADA ILAHI
NIKMAT DIBERI KEPADA KAMI
MOGA HIDUP KAN DIBERKATI
KU POHON RESTU ILAHI

KELULUT INDAH DAN PERMAI
MENJADI KEBANGGAAN SEMUA
BERSAMA KITA MEMPERTAHANKANNYA
AGAR MASHYUR DI SERATA...


Alangkah cuai bagi manusia yang tidak pernah ambil tahu tentang sejarah manakala Alangkah malang bagi manusia yang tidak pernah belajar dari sejarah


*semua gambar di dalam blog ini adalah hak milik peribadi penulis. Tidak dibenar bagi mana-mana pihak sekalipun menyalin @ mengambil gambar ini tanpa meminta kebenaran daripada penulis. Harap Maklum.*


SEJARAH & ASAL USUL

Arakian maka tersebutlah satu kisah yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi hingga sekarang maka bermulanya nama sebuah nama kampung yang bernama KELULUT itu adalah seperti berikut.....

Pada lebih kurang abad ke18,singgahlah satu rombongan pedagang dari KG. SURAU HAJI DAUD yang sering berulang alik dari MERSING,JOHOR di bawah sepohon pokok Rhu di tepi pantai. Rombongan itu diketuai oleh seorang ketua yang bernama PAK WE YA'MA.Sedang mereka asyik berehat,tiba-tiba datanglah sekumpulan serangga terbang yang dikenali sebagai KELULUT lalu mengerumuni rombongan itu seolah-olah mengalu-alukan kedatangan mereka. Oleh kerana merasa takjub dengan kejadian itu, maka PAK WE YA'MA selaku ketua rombongan telah mengisytihar tempat kejadian itu sebagai RHU KELULUT(sekarang tempat itu terletak dalam kawasan Pantai Peranginan Kelulut,tapi pokoknya telah tiada). Lama kelamaan daripada nama panggilan RHU KELULUT, nama tempat itu akhirnya menjadi KELULUT sahaja.

TOKOH-TOKOH KELULUT


PAK WE YA'MA

-berasal dari Kg. Surau Haji Daud, Kuala Terengganu.
-orang yang memberi nama Kampung Kelulut
-ketua peniaga yang berulang alik dari Terengganu ke Mersing, Johor
-dipercayai meninggal dunia di Kampung Surau Haji Daud

KHATIB HASSAN BIN
-Ketua Kampung Kelulut yang pertama.
-lahir di Kampung Surau Haji Daud, Kuala Terengganu.
-berhijrah ke Kampung Kelulut bersama keluarganya.
-juga sebagai iman,jurunikah dan tukang masak kenduri.

MUDA BIN KHATIB HASSAN
-lahir pada tahun1899 di Kampung Surau Haji Daud.
-berhijrah ketika kecil bersama-sama ayahndanya ke Kampung Kelulut.
-juga sebagai tukang masak kenduri.
-meninggal pada tahun 1976 ketika berusia 77thn

ARIFIN BIN MUDA














-lahir di Kampung Kelulut pada 21.1.1934.
-dilantik sebagai Ketua Kampung Kelulut pada tahun 1976 setelah kematian ayahnda beliau pada tahun tersebut.
-pelantikan dibuat dengan cara mengambil keputusan persetujuan bersama seluruh penduduk Kampung Kelulut pada ketika itu.
-perlantikan dibuat di atas Masjid Kampung Kelulut.
-melakukan perubahan drastik terhadap kemajuan Kampung Kelulut sehingga pernah terpilih sebagai salah satu kampung terbaik di Terengganu dan Malaysia.
-pernah dianugerahkan pingat PJK oleh Sultan Trengganu pada tahun ??
-bersara pada tahun ??

KAMARUDDIN BIN ARIFIN
-lahir ??
-mengantikan ayahndanya selaku ketua kampung.
-pernah bertugas sebagai guru besar di beberapa buah sekolah rendah.
-sekarang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah.
-bersara pada tahun??

ZAIMIN BIN ENDUT
-lahir di??
-juga merupakan cicit kepada Khatib Hassan.
-sekarang bertugas di Pejabat Majlis Daerah Marang.

TEMPAT MENARIK DAN BERSEJARAH


PANTAI PERANGINAN KELULUT

-di sinilah bermulanya asal usul nama KG. KELULUT


MASJID KELULUT
-asalnya tanah ini telah diwakafkan oleh seorang yg bernama ???
-kayu @ papan-papan yang ada di bangunan masjid pada masa ini kebanyakannya adalah berasal daripada masjid lama kerana ia telah diwasiatkan daripada ???


PERKUBURAN KG. KELULUT


-di sinilah bersemadinya jasad para tokoh pemimpin serta penduduk Kg Kelulut yang terdahulu.
-masih digunakan hingga ke hari ini.


BALAIRAYA KG. KELULUT

-dibina pada tahun 1988 sempena kedatangan Perdana Menteri Malaysia ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad dalam Program Mesra Bersama Rakyat (SEMARAK).


BEKAS KEM PELARIAN VIETNAM


-asalnya ia merupakan sebuah restoran dan rumah tumpangan.
-kemudian dijadikan tempat depot tahanan pelarian Vietnam sementara di hantar ke Kem Sungai Besi Kuala Lumpur bermula pada tahun70an hingga 90an.
-selepas itu ia telah dijadikan asrama pekerja kilang sehingga tahun ??.
-pernah dijadikan rumah tumpangan semula.
-sekarang telah diusahakan oleh tuan punya tanah sebagai tempat pembiakan sarang burung layang-layang.


BUKIT PENJARA


-mendapat namanya kerana pada masa dahulu pernah di jadikan tempat untuk menangkap @ menjerat harimau.
-juga dijadikan tempat untuk mengurung harimau sebelum di pindahkan ke tempat lain.


BUKIT KEMAS

-merupakan penempatan baru yang di wujudkan pada tahun ??
-mendapat namanya kerana sebagai penghargaan daripada penduduk kampung kepada KEMAS.


BUKIT TOKENG KIJANG


-mendapat nama kerana di situ terdapat sepohon pokok Tokeng Kijang yang besar.
-pokok itu masih wujud sehingga sekarang.


BUKIT PADI


-mendapat nama di sekitar tahun 80an.
-pernah terdapat aktiviti penanaman padi yang diusahakan secara berkelompok.



BUKIT TANJUNG NIBUNG

-terletak selepas daripada Bukit Padi.

-mendapat namanya kerana banyak terdapat pokok Nibung di sekitarnya.


BUKIT TOK PELAM

-???



TEMPAT MAKAN/RIADAH/BEREHAT

KEDAI STOPA
-Tom Yam,Mee Goreng Kering,Ikan & Sotong Celup Tepung dia besh.Kalau dari bandar Marang nak hala ke dungun Ianya terletak sebelum kedai T SHOPPE . Sebelah kiri hala ke Dungun. (12pm-magribi)

KEDAI MIE ROTI CANAI
-Roti canai & makanan pagi.Terletak berhadapan dengan T SHOPPE. Kalau nak beli rempah ikan bakar pun boleh. Kiranya MIE ni antara orang terawal yang membuat rempah ikan bakar kat Marang ni. Otai la tu...tapi sekarang lebih menumpukan terhadap kedai makanan paginya sahaja..sebelah kanan hala ke Dungun.(awal pagi-12pm)

KEDAI T SHOPPE
-Terdapat pelbagai jenis barang keperluan & makanan terutamanya dari negeri TERENGGANU sendiri. Kira-kiranya macam 7E la ni...Sebelah kiri hala ke Dungun.

MEDAN SELERA KELULUT
-Terdapat banyak kedai makan di sini. Korang pilih la mane yang berkenan.Tapi yang special dan aku suka makan kat sini ialah SATE PAK MEZAH.Ianya terletak sebelah dengan kedai T SHOPPE. Sebelah kiri hala ke Dungun.(waktu aktif niaga-4pm-12am)

CALET SEMARAK
-Dibina sempena kedatangan perdana menteri malaysia ketika itu iaituTun Dr Mahathir Mohamad dalam Program Mesra Bersama Rakyat (SEMARAK) pada tahun 1988. Selepas Medan Selera Kelulut. Sebelah Kiri hala ke Dungun.


KEROPOK LEKOR
-Yang top kat sini ialah kedai KEROPOK 008. Berhadapan dengan Chalet Semarak selepas Medan Selera Kelulut. Sebelah kanan hala ke Dungun.

ROTI TEMPAYAN
-Kedai ni terletak betul-betul di depan kawasan Pantai Peranginan Kelulut. Sebelah kanan hala ke Dungun(4pm-12am)

MEE SUP
-Terletak selepas Pantai Peranginan Kelulut. Aku tak ingatla kedai ni yang ke berapa. Yang pasti tuannya bernama Man Pela. Sebelah kiri Hala ke Dungun.(12pm-magribi)

AIR NIRA
-Kalau dari bandar Marang nak hala ke dungun ianya terletak selepas daripada Pantai Peranginan Kelulut. Terus sikit lepas jumpa satu selekoh korang perhati la sendiri kat kiri kanan
jalan tu mesti ader gerai yang jual air nira tu.

KILANG NIRA NIPAH
-Terletak di kawasan gerai air nira. Sebelah kiri hala ke Dungun.

CHALET
-Lepas selekoh selepas gerai-gerai air nira tu.Sebelah kiri hala ke Dungun.

Panjang kata kalau korang lalu dan masuk je kat kawasan KG KELULUT ni korang tak akan mati kelaparan la...mungkin mati kekenyangan ade la..... :)




PERISTIWA

PERANG DUNIA KEDUA
-para penduduk telah melarikan diri ke hutan di sekitar kampung dan selalu mengelakkan diri dari berjumpa dengan tentera jepun.
-jika ada berlaku sebarang pertempuran di laut kawasan pulau kapas,penduduk dapat melihatnya dengan jelas.
-beberapa butir bom juga telah digugurkan di kampung kelulut oleh tentera berikat.

PENDARATAN PENDATANG HARAM VIETNAM
-berlaku disekitar tahun 70an
-pernah terjadi di sekitar tahun 90an di mana bot yang mereka naiki telah karam dan hanya mayat-mayat mereka bergelimpangan di sepanjang pantai kelulut.

PROGRAM MESRA PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT (SEMARAK)
-Diadakan pada tahun 1988
-Perdana Menteri ketika itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad
-Program ini telah berjaya menaikkan nama KG.KELULUT di seluruh negeri Terengganu dan Malaysia.
-Banyak kemudahan infrastuktur telah berjaya dibawa masuk ke kampung ini.


CERITA-CERITA MENARIK/MISTIK/DONGENG


*ruangan ini hanya sekadar untuk pengetahuan sahaja, terpulanglah kepada individu untuk menilainya sendiri.*


KUBUR POKOK RHU

-Dipercayai terdapat sebuah kubur lama di bawahnya.

-Pernah terjadi satu kerasukan terhadap seorang lelaki yang ingin mengusik rakan-rakannya memancing pada waktu malam di kawasan itu.
-Ketika bersembunyi, beliau telah merasakan 'sesuatu' memeluknya dari belakang.
-Beliau terus lari untuk mendapatkan rakan-rakannya sambil berguling-guling di atas pasir pantai kerana merasakan 'benda' tersebut tidak mahu melepaskannya.
-Beliau akhirnya berjaya dipulihkan setelah mendapat rawatan dari seseorang yang mahir di dalam hal-hal sebegini.


SELEKOH VIETNAM




-selekoh yang banyak berlaku kemalangan sejak sekian lama.
-mendapat nama kerana terletak berhadapan Kem Pelarian Vietnam.
-jalan ini telah wujud sejak zaman sebelum jepun.
-dahulu di jalan ini ada terdapat jambatan kayu.
-banyak cerita mistik yang dikaitkan dengan tempat ini.
-diceritakan juga bahawa pernah dilihat seorang perempuan merayau-rayau disepanjang jalan ini pada lewat malam sambil mengendong anak kecil.
-pernah terjadi di hadapan mata penulis ketika kecil sebuah kereta 'terbang' dengan sendiri dan mendarat betul-betul di hadapan Kem. Keadaan penumpang di dalam kereta agak teruk di mana kakinya hampir terputus.


-pada 28 Sept 2007 bersamaan bulan Ramadhan, berlaku satu kemalangan yang membabitkan 3 kenderaan menyebabkan 5 terbunuh dan lima parah.
*gambar-gambar yang di tunjukkan ini bukanlah untuk mengaibkan mana-mana pihak. Ia hanyalah bertujuan untuk membuat pengajaran agar kita lebih berhati-hati ketika memandu*

-lebih kurang sebulan selepas kemalangan ini, hampir berlaku satu lagi kemalangan maut yang membabitkan sebuah bas dan sebuah van yang sarat dengan penumpang.
-mereka bernasib baik kerana bas terbabit sempat mengelak dan hanya merempuh sebuah gerai menjual air nira yang tiada berpenghuni ketika itu.

-selepas daripada kejadian ini, terdapat lagi kemalangan-kemalangan lain yang sering berlaku sehingga sekarang.


BUKIT TANJUNG NIBUNG.


-Dipercayai oleh penduduk kampung sebagai 'tempat keras'.


-
Sekitar tahun 80an, ketika aktiviti penanaman padi diusahakan di Bukit Padi, pernah belaku satu peristiwa di mana seorang lelaki dan anaknya telah melihat satu permandangan luar biasa di mana kelihatan seekor kuda putih terbang tiba-tiba muncul dari arah bukit ini.
-Kuda terbang yang mempunyai sepasang sayap itu berlegar-legar seketika dan kemudian menghilangkan diri ke arah bukit itu semula.

-Pernah juga berlaku di mana seorang lelaki yang sedang bekerja di sawahnya di Bukit Padi telah didatangi seorang lelaki yang berpakaian seperti raja dari zaman dahulu sambil menunggang kuda.

-Lelaki itu telah mengajak pesawah itu menunggang kuda bersamanya. Akhirnya pesawah itu tidak sedarkan diri dan dijumpai oleh penduduk kampung yang mencarinya.

-Sekumpulan kanak-kanak yang tersesat pada tahun 80an di bukit ini pernah terjumpa satu kolam yang amat cantik ketika mereka sangat kehausan.

-Airnya bewarna biru kejernihan dan di dalamnya terdapat pelbagai jenis ikan yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.
-Terdapat juga seekor anak ular yang pelik di dalamnya.
-Setelah mereka berpatah balik untuk meminum air buat kali kedua, kolam itu terus hilang.